Bagaimana Melupuskan Mushaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi?
Kitab Suci al-Qur’an merupakan Kalamullah dan wahyu AllahSubhanahu wa Ta‘ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa kebenaran danpetunjuk kepada umat manusia, sekaligus mengesahkan kebenarankitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya. Firman AllahSubhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad)Kitab (al-Qur’an) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkansebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya…”(Surah al-Maaidah: 48)
Kitab Suci al-Qur’an itu, sehingga ke hari ini dan selama-lamanya terselamat dan terpelihara daripada perubahan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Qur’an, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr: 9)
Hukum Memuliakan Al-Qur’an
Umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib memuliakan, mengagungkan dan memelihara Kitab Suci al-Qur’an. Baik dari segi memelihara kesuciannya daripada kotoran ataupun memelihara kemuliaannya daripada sebarang perubahan, penambahan atau sebarang perbuatan yang membawa kepada penghinaannya. Begitu juga dari segi menjaga adab-adab ketika membacanya, menulis, membawa, menyentuh, meletak dan menyimpan al-Qur’an, dan menjauhkannya daripada terdedah kepada perkara yang hina umpamanya meletakkannya di tempat tempat yang tidak munasabah seperti tempat kotor, bersepah di jalan-jalan dan sebagainya.
Menurut Imam Abu al-Fadhl al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah, bahawa sesiapa yang memandang ringan terhadap al-Qur’an, mushaf atau sesuatu daripada ayat al-Qur’an, ataupun dia mengingkari satu huruf daripadanya, atau mendustakan sesuatu hukum atau khabar yang telahpun dijelaskan dalam al-Qur’an, atau dia mensabitkan sesuatu yang dinafikan dalam al-Qur’an, atau dia menafikan sesuatu yang disabitkan dalam al-Qur’an sedang dia tahu atau syak pada perkara itu, maka orang tersebut adalah kafir menurut ijma‘ umat Islam.
Demikian juga, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, umat Islam telah bersepakat mengatakan bahawa wajib menjaga dan menghormati mushaf. Menurut para ulama asy-syafi‘e dan ulama yang lainnya Rahimahumullah, jika seseorang muslim itu membuang mushaf ke tempat-tempat kotor, maka jadilah dia kafir.
Menurut mereka lagi, hatta menjadikan mushaf itu sebagai bantal hukumnya adalah haram.begitulah ketinggian dan kemuliaan al-Qur’an. Kita amat dituntut untuk menghormati dan menjaga kesuciannya. Sehinggakan seseorang itu boleh menjadi kafir apabila mengingkari atau menghinakannya.
Memandangkan kedudukan al-Qur’an yang amat tinggi dan mulia itu, bagaimanakah cara yang betul untuk mengendalikan mushaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi? Adakah boleh dilupuskan mushaf tersebut? Melupuskan Mushaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi Mushaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi dan sukar untuk dijaga dan dipelihara, boleh dilupuskan dengan tujuan untuk menjaga kehormatannya. Perkara ini pernah dilakukan oleh Sayyidina ‘Utsman bin ‘AffanRadhiallahu ‘anhu.
Diriwayatkan bahawa pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, al-Qur’an tidak terkumpul dalam satu mushaf akan tetapi ia dihafal oleh para sahabat Baginda. Ada di antara mereka yang hafal keseluruhannya dan ada juga yang hanya hafal sebahagiannya. Setelah datang zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu, beliau telah mengumpulkan al-Qur’an menjadi satu mushaf yang akhirnya disimpan di rumah Sayyidatina Hafshah Radhiallahu ‘anha isteri Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Inisiatif tersebut dibuat memandangkan para sahabat yang hafal al-Qur’an ditakuti wafat dan ditakuti juga akan terjadi perselisihan di antara orang-orang Islam selepas mereka. Sehinggalah pada zaman pemerintahan Sayyidina ‘Utsman bin ‘Affan Radhiallahu ‘anhu, beliau telah memerintahkan supaya mushaf yang ada pada Sayyidatina HafshahRadhiallahu ‘anha itu disalin kepada beberapa mushaf. Inisiatif ini pula dibuat memandangkan terjadinya perbalahan dan perselisihan di antara umat Islam pada pembacaan al-Qur’an. Kebanyakan ulama meriwayatkan, mushaf tersebut disalin sebanyak empat naskhah.
Kemudian naskhah al-Qur’an tersebut dikirim ke Kufah, Bashrah, Syam dan senaskhah lagi disimpan di tempat beliau. Beliau juga memerintahkan supaya dilupuskan beberapa lembaran kertas yang tertulis padanya al-Qur’an atau mushaf selain daripada mushaf-mushaf berkenaan dengan membakarnya. Ini bertujuan bagi mengelakkan terjadinya perselisihan umat Islam pada pembacaan al-Qur’an. Perbuatan beliau membakar mushaf itu tidak ada sahabat yang membantahnya.
Cara Melupuskan Mushaf Yang Tidak Dapat Digunakan Lagi
Para ulama ada menyebutkan bahawa cara melupuskan mushaf atau sesuatu yang tertulis dengan tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan lagi. Ada dua cara melupuskannya iaitu dengan membasuh tulisan ayat-ayat tersebut sehingga tidak kelihatan lagi atau dengan cara membakarnya.
Melupuskan Mushaf Dengan Cara Membasuh Tulisannya
Melupuskan mushaf dengan cara membasuh tulisan ayat-ayat al-Qur’an dengan air adalah lebih utama daripada membakarnya iaitu apabila ia mudah dilakukan dan tidak dikhuatiri air basuhan itu tercurah ke tanah. Adapun jika cara membasuh itu menyukarkan dan ditakuti air basuhannya tercurah ke tanah, maka adalah lebih utama ia dibakar.
Melupuskan Mushaf Dengan Cara Membakarnya
Makruh membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an melainkan bagi tujuan memuliakannya. Bahkan membakar sesuatu yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an itu boleh menjadi wajib jika cara yang sedemikian itu sahaja cara untuk menjaga kehormatan dan kemuliaannya.
Adapun melupuskannya dengan cara mengoyak atau mencarikkannya adalah haram kerana cara tersebut memutuskan huruf-huruf dan kalimahnya yang membawa maksud kepada mempersia-siakan dan memandang rendah apa yang tertulis itu. Maka dari penjelasan di atas dapatlah disimpulkan, cara melupuskan mushaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang tidak dapat digunakan itu dan sukar untuk dijaga dan dipelihara ialah sama ada dengan membasuh atau membakarnya.
Dalam soal ini perlulah diingat, membasuh atau membakar mushaf itu hendaklah disertai niat yang baik dengan tujuan semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan al-Qur’an, bukan merendahkan apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan.
Demikian juga, hendaklah dipastikan mushaf atau tulisan ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibakar atau dibasuh itu, tidak ada lagi sakibakinya yang tertinggal sehingga menyebabkan ia terbiar dan sekaligus menyebabkan ia terdedah kepada pencemaran dan penghinaan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab seseorang itu untuk memastikan bahawa mushaf yang dilupuskan itu benarbenar lupus dan tidak ada lagi saki-baki tulisan ayat-ayat tersebut.
Sumber : Jabatan Mufti Negara Brunai
No comments:
Post a Comment